21 June 2021: MIRI: Penduduk asal di kawasan Baram yang tidak mempunyai MyKad boleh mendapatkan vaksin COVID-19 secara walk-in dengan menunjukkan surat sokongan ketua masyarakat atau ketua kaum di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, setakat semalam, empat penduduk dari Long Kesseh yang tidak mempunyai MyKad sudah menerima suntikan vaksin di PPV Long Lama.
“Saya sudah menghubungi PPV Long Lama. Mereka hanya perlu mengemukakan surat sokongan daripada ketua kaum. Tiada masalah, selagi mereka penduduk asal.
“Justeru, saya amat kesal dengan pihak tertentu yang mendakwa penduduk asal yang tidak mempunyai MyKad dinafikan menerima vaksin,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan menerusi sebuah portal berita mendakwa beberapa penduduk asal semasa di PPV Klinik Kesihatan Long San tidak dapat menerima vaksin kerana tiada MyKad.
Dennis berkata, pihak NGO tersebut sepatutnya meneliti kesahihan perkara itu sebelum membuat kenyataan.
Katanya, hanya seorang penduduk asal tidak dapat menerima vaksin kerana tidak menunjukkan surat sokongan daripada ketua kaum.
“Individu tersebut sudah diberitahu untuk datang lagi ke PPV Klinik Kesihatan Long San bersama surat sokongan.
“Petugas di pusat itu hanya mengikut prosedur dan bukannya menolak memberi vaksin kepada penduduk tersebut,” kata Dennis.
Katanya, NGO tersebut hanya membesar-besarkan cerita sedangkan kerajaan dan pekerja barisan hadapan bertungkus-lumus memastikan program vaksinasi berjalan lancar di kawasan pedalaman seperti Baram.
Setakat ini, lebih 1,000 penduduk di Telang Usan sudah menerima vaksin sejak program itu dimulakan pada 12 Jun lalu di PPV Klinik Kesihatan Long San dan Klinik Kesihatan Long Bedian.
Terdahulu Dennis meninjau pusat pengagihan bakul makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di Kem Samling Kilo 10.
Lebih 20 buah rumah panjang dan penempatan Penan dari Ulu Baram dan Ulu Tinjar menerima bantuan tersebut.
Utusan Borneo/20/6/2021